Tersebutlah kisah di sebuah kampung di pedalaman, tinggalnya seorang pemotong kayu dikenali sebagai Man bersama isterinya Timah yang sangat miskin. Kemahirannya hanyalah menebang pokok untuk dijual sebagai kayu api. Hanya isterinyalah peneman hidup saban hari tanpa dikurniakan anak.
Dijadikan cerita pada suatu pagi, Man telah pergi jauh ke hutan untuk menebang pokok. Tidak seperti kebiasaannya, kali ini Timah tidak dapat menemaninya kerana demam. Ketika beliau sedang menebang kayu, tiba-tiba kapak kesayangan terlepas dari tangannya lalu tercampak ke dalam sungai. Menangislah Man kerana kehilangan kapak yang menjadi punca rezeki.
Bersimpatilah pari-pari di langit melihat Man, lalu turunlah ia bertanya. "Wahai orang tua, kenapa bersedih?” Dengan perasaan takut dan terkejut diceritakan apa yang telah berlaku. Lalu dengan serta merta terjunlah si pari-pari ke dalam sungai. Selang beberapa minit timbul lah kembali si pari-pari sambil membawa kapak emas lalu dihulur kepada Man. Dengan sedih Man menjawab, “bukan, ini bukan kepunyaan hamba. Tidak mampu hamba memiliki kapak emas ini.”
Lalu terjunlah sekali lagi si pari-pari ke dalam sungai dan timbul kembali bersama kapak perak. Tidak juga Man mengaku kerana itu bukan kapak miliknya. Sekali lagi si pari-pari terjun lalu membawa pula kapak gangsa. Tidak juga Man menerimanya sehinggalah si pari-pari membawakannya kapak besi yang uzur. Maka apabila terpandang akan kapak itu gembiralah hatinya kerana itulah kapak miliknya. Lalu si pari-pari menyerahkan kapak tersebut kepada Man. Sebagai balasan kejujurannya, kapak emas, perak dan gangsa turut dihadiahkan.
Pulanglah Man dengan hati yang gembira. Sesampainya ke rumah lalu diceritakan kepada isterinya apa yang berlaku. Timah turut bergembira dengan kejujuran suaminya. Beberapa minggu kemudian, Man telah pergi sekali lagi ke dalam hutan untuk mencari kayu api, tetapi kali ini membawaTimah. Di dalam perjalanan Timah telah tergelincir lalu terjatuh dan hilang di dalam sungai. Maka menangislah Man kerana kehilangan isterinya lalu menimbulkan simpati pari-pari di langit.
Lalu bertanyalah si pari-pari akan kesedihan Man, maka diceritakanlah akan kesedihannya kerana kehilangan isteri. Tanpa berlengah terjunlah si pari-pari ke dalam sungai. Selang bebarapa minit timbullah si pari-pari sambil mendukung gadis secantik Siti Nurhaliza dan bertanya kepada Man "Inikah isterimu?" Lantas Man mengakuinya.. “Ya, ya, betul, inilah isteri hamba!!" Mendengarkan pengakuan yang tidak jujur tersebut..maka marahlah si pari-pari. "Pembohong.... ini bukanlah isterimu...aku sump ……" Belum habis si pari-pari berkata lalu Man mencelah, "Sabar, sabar dulu, ini hanyalah salah faham sahaja.
“Bukan niat hamba berbuat demikian…” Dengan nada sayu Man meneruskan kata-katanya. "Hamba khuatir jika hamba tidak mengakuinya, maka tuan hamba akan terjun semula beberapa kali lagi sambil membawa gadis secantik Siti Nurdiana, Maya Karin dan Pamela Anderson. Hamba ini hanyalah orang tua yang miskin yang tak akan mampu memiliki kesemua mereka itu …..!!"
Tuesday, September 14, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

0 comments:
Post a Comment